J QAF PPKI

PANDUAN PELAKSANAAN j-QAF PENDIDIKAN KHAS
1.         PENDAHULUAN

Program j-QAF adalah berasaskan kepada idea YAB Datuk Seri Abdullah b Hj Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia yang telah dinyatakan secara khusus semasa lawatannya ke Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada 30 Disember 2003. Cetusan idea ini telah diperhalusi di peringkat Kementerian Pelajaran melalui seminar j-QAF pada 3 hingga 5 Mac 2004. Program j-QAF telah dilaksanakan secara dalam projek rintis selama 3 bulan dan berakhir pada Julai 2004. YAB Perdana Menteri telah bersetuju program ini dilaksanakan mulai tahun 2005.

2.         KONSEP PROGRAM J-QAF
           
Program j-QAF adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam (PI) melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain yang dilaksanakan di peringkat persekolahan rendah. Pelaksanaan program ini menggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri. Tenaga guru yang khusus digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid. Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada.

3.         KONSEP PROGRAM J-QAF DI PENDIDIKAN KHAS
           
Program j-QAF di Pendidikan Khas adalah adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam (PI) di Pendidikan Khas untuk murid-murid berkeperluan Khas bermasalah pembelajaran. Melalui program ini penekanan khusus dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran menggunakan Modul Kaedah Iqra’ dan Pengajaran dan Pembelajaran Fardhu Ain menggunakan Modul Amali Solat yang dilaksanakan di peringkat persekolahan rendah. Modul-modul ini telah di ubahsuai mengikut tahap penguasaan dan keupayaan murid berkeperluan khas. Tenaga guru yang khusus digunakan untuk pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid. Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada dan penambahan waktu di kelas Pendidikan Islam di Pendidikan Khas.

4.          OBJEKTIF PROGRAM j-QAF DI PENDIDIKAN KHAS

Setelah program ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan kepada murid Islam di Program Pendidikan Khas Integrasi sekolah rendah akan dapat :
i.              Membaca ayat-ayat pendek berpandukan buku Iqra’.
ii.             Menguasai bacaan buku Iqra’ 1 – 6 setelah tamat sekolah rendah.
iii.            Mengetahui dan melakukan perbuatan berwuduk.
iv.           Menyebut dan membaca bacaan dalam solat.
v.            Mengetahui dan melakukan perlakuan dalam solat.

5.          KEPENTINGAN PROGRAM j-QAF.

5.1        Kepentingan Bacaan Ayat-ayat al-Quran

Al-Quran telah diajar sebagai sebahagian daripada sukatan Pendidikan Islam dalam bidang Asuhan Tilawah al-Quran pada masa ini. Bagi murid berkeperluan Khas aspek kemahiran membaca al-Quran perlu diberi pendedahan yang maksimum. Ini kerana mereka juga mampu menguasai bacaan al-Quran dengan baik sekiranya diberi pengajaran yang secukupnya. Penguasaan kemahiran membaca ayat-ayat al-Quran ini diajar melalui penggunaan Modul Kaedah Iqra’ yang telah diubahsuai mengikut tahap penguasaan murid berkeperluan khas masalah pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran kaedah ini menumpukan kepada pembacaan buku Iqra’ 1 hingga buku Iqra’ 6 untuk murid sekolah rendah. Oleh itu, Pendidikan Islam di Pendidikan Khas lebih menekankan aspek penguasaan kemahiran membaca ayat-ayat al-Quran dikalangan murid bermasalah ini.

5.2  Kepentingan Fardhu Ain.

Aspek Fardhu Ain yang diberi penekanan terhadap murid berkeperluan khas masalah pembelajaran adalah pengajaran Modul Amali Solat. Pengajaran dan Pembelajaran modul ini dilaksanakan di dalam bilik darjah dan secara amali (praktikal) di luar bilik darjah bagi memastikan murid dapat menguasai kemahiran berwuduk dan solat. Proses pengajaran dan pembelajaran modul ini melibatkan aktiviti teori dan amali di luar bilik darjah.
   
6.          MODUL-MODUL PROGRAM j-QAF DI PENDIDIKAN KHAS

6.1          Modul Pengajaran dan Pembelajaran Kaedah Iqra’.
-       Model Kelas Pengajaran dan Pembelajaran Iqra’
-       Model Tasmik

6.2          Modul Pengajaran dan Pembelajaran Amali Solat.
-       Model Kelas Pengajaran dan Pembelajaran Amali Solat.
(teori dan amali)

7.         MODEL-MODEL j-QAF DI PENDIDIKAN KHAS

7.1          Model Kelas Pengajaran dan Pembelajaran Kaedah Iqra’

Model Kelas Pengajaran dan Pembelajaran Kaedah Iqra’  di perjelaskan dalam buku Panduan Kaedah Iqra’. Ia akan diajar oleh guru j-QAF dalam waktu Pendidikan Islam dengan menggunakan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Iqra’.

7.2          Model Tasmik

Model Tasmik dilaksanakan dalam waktu Pengajaran dan Pembelajaran Kaedah Iqra’. Guru tasmik terdiri dari guru j-QAF dan guru yang mengajar Pendidikan Islam Pendidikan Khas.

7.3          Model Kelas Pengajaran dan Pembelajaran Amali Solat

Model Kelas Pengajaran dan Pembelajaran Amali Solat diperjelaskan dalam buku Panduan Amali Solat. Ia diajar oleh guru j-QAF dan Guru Pendidikan Islam Pendidikan Khas dalam waktu Pendidikan Islam menggunakan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Amali Solat. Murid akan diberi pengajaran secara teori melalui proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan secara amali (praktikal) di luar bilik darjah. Semua kelas yang dipilih untuk mengikuti kelas j-QAF dikehendaki menggunakan modul ini.

8.    PELAKSANAAN PROGRAM j-QAF DI PENDIDIKAN KHAS

Program j-QAF di Pendidikan Khas terdapat dalam dua kategori sekolah:
a.   Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Bermasalah Pembelajaran,      Penglihatan dan Pendengaran.
b.     Sekolah Pendidikan Khas (SKPK)

8.1  Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)

Program Pendidikan Khas Integrasi telah dilaksanakan secara berperingkat mulai 2008. Setakat ini 600 buah sekolah PPKI telah ditempatkan guru-guru j-QAF yang ter latih bagi murid-murid bermaslaah Pembelajaran, Penglihatan dan Pendengaran.



                8.2       Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK)
Sebanyak 11 buah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) telah melaksanakan Program j-QAF. Dijangkakan pada tahun 2014 semua SKPK akan melaksanakan Program j-QAF.

9.         PENJADUALAN

9.1       Kelas Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Kaedah Iqra’ dilaksanakan dalam waktu Pengajaran Pendidikan Islam di Pendidikan Khas. Pengajaran kaedah ini dilaksanakan sepanjang tahun dengan peruntukan waktu 4 kali seminggu, 3 waktu untuk P&P Kaedah Iqra’ dan 1 waktu untuk tasmik.

9.2          Kelas Pengajaran dan Pembelajaran Amali Solat dilaksanakan dalam waktu Pengajaran Pendidikan Islam di Pendidikan Khas. Pengajaran kaedah ini dilaksanakan sepanjang tahun dengan peruntukan waktu 2 kali seminggu.
9.3          Kelas Pengajaran dan Pembelajaran bagi murid-murid bermasalah penglihatan dan pendengaran jadual mengikut aliran perdana yang diubahsuai mengikut kategori murid.

10.       PENGAMBILAN GURU

Urusan pengambilan guru-guru pelatih j-QAF Pendidikan Khas dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia seperti Guru j-QAF di aliran perdana. Guru-guru j-QAF Pendidikan Khas diberi pendedahan dan latihan berkaitan Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran, Penglihatan dan Pendengaran di Institut Perguruan tertentu.

11.       PENEMPATAN GURU j-QAF PENDIDIKAN KHAS

Urusan penempatan guru-guru j-QAF Pendidikan Khas adalah di bawah tanggungjawab Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Islam dan Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia.

12.       AKTIVITI PENGUKUHAN

1.    Kem Bestari Solat Kebangsaan.
2.    Majlis Khatam al-Quran Kebangsaan.

13.       BAHAN DAN KEMUDAHAN
           
Bahan-bahan asas  yang disediakan dalam program ini adalah Buku Panduan Dasar, Buku Panduan Kaedah Iqra’, Buku Panduan Amali Solat, Modul Pengajaran dan Pembelajaran Kaedah Iqra’ dan Modul Pengajaran,  Pembelajaran Amali Solat, Buku Iqra’, dan Al-Quran Elektronik.

14.       PENTAKSIRAN
           
Pentaksiran berasaskan sekolah wajar dilaksanakan kepada program j-QAF Pendidikan Khas. Pihak sekolah menyediakan sijil yang akan diselaraskan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

15.       PEMANTAUAN DAN BIMBINGAN

Pegawai j-QAF dan Pegawai Pendidikan Khas peringkat pusat, Negeri dan daerah akan menjalankan pemantauan secara berterusan untuk memberi bimbingan bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan program ini. Laporan pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa mengikut keperluan bagi mengenal pasti kelemahan dan kekuatan program tersebut untuk diambil tindakan sewajarnya.


16.       PENUTUP
Adalah menjadi harapan Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas) agar para pendukung j-QAF memahami hasrat program ini dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak BPKhas. Program j-QAF Pendidikan Khas boleh berfungsi sebagai tonggak baru dalam mempertingkat dan memperkasakan penguasaan Pendidikan Islam dalam Pendidikan Khas bagi membina jatidiri insan mukmin murid berkeperluan khas agar menjadi eset penting negara dan bukan lagi menjadi bebanan masyarakat.


Peranan dan Tanggungjawab Guru j-QAf di Pendidikan Khas
2.1   Guru j-QAF di Pendidikan Khas adalah  menjadi  ahli jawatankuasa Panitia Pendidikan Islam sekolah.
2.2  Guru j-QAF di Pendidikan khas bekerjasama melaksanakan Kem Bestari Solat di aliran perdana.
2.3  Guru j-QAF di Pendidikan khas bekerjasama melaksanakan  Tasmik di aliran perdana.(1 Jam seminggu) sahaja.
2.4  Guru j-QAF perlu dikecualikan daripada pelaksanaan Tasmik di aliran perdana sekiranya terdapat aktiviti di Pendidikan Khas.










No comments:

Post a Comment